Home / Kejohanan / Antarabangsa / Australia Juara

Australia Juara

Faizal Shaari gagal membantu skuad negara menjuarai Piala Sultan Azlan Shah 2014

Faizal Shaari gagal membantu skuad negara menjuarai Piala Sultan Azlan Shah 2014

Ipoh,23 Mac 2014; Pasukan ranking nombor satu dunia, Australia membuktikan mereka terlalu ampuh untuk ditumbangkan apabila mudah menewaskan Malaysia 8-3 dalam aksi final Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Juara empat edisi berturut-turut itu hanya bolos ketika menewaskan Malaysia dan Korea Selatan dengan purata bolos satu gol untuk satu perlawanan, serta menang dalam semua aksi sepanjang kejohanan kali ini.

Skuad negara dilihat sukar untuk melakukan gerakan malah seringkali tersekat apabila cuba mengatur serangan ke kubu Australia. Chris Ciriello muncul wira apabila menjaringkan empat gol untuk pasukannya menerusi pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-6, 17, 42 dan 52.

Dalam aksi babak pertama, Malaysia tampak mampu menahan asakan pasukan lawan disamping memberikan saingan apabila hanya ketinggalan 1-3. Gol skuad negara yang pertama dijaringkan oleh Shahril Saabah pada minit ke-24 hasil daripada pukulan sudut penalti.

Gol defleksi Rashid Baharom di awal babak kedua berjaya merapatkan jurang jaringan namun Juara Dunia 2010 itu tidak menunggu lama apabila pakar pukulan sudut penalti, Chris Ciriello menjadikan kedudukan 4-2 pada minit ke-42.

Nicholas Budgeon dan Ciriello menambah derita skuad negara apabila menambah dua jaringan masing-masing pada minit ke-46 dan 52, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti sebelum gol padang daripada Mattew Gohdes untuk menjadikan kedudukan 7-2.

Australia memberikan aksi baik dengan kombinasi gerakan yang merbahaya kerap kali berjaya dijelmakan apabila asakan dilakukan. Mereka juga bijak mencari ruang untuk mendapat pukulan sudut penalti dan berjaya memanfaatkan hampir kesemuanya.

Inilah jurang besar yang terpaksa ditempuh oleh skuad kendalian Muhammad Dharma Raj sepanjang perlawanan berlangsung. Ketika aksi menuju penamat, Fitri Shaari mengejutkan lawan dengan gol padang yang menarik selepas melakukan pusingan badan menewaskan penjaga gol Australia.

Skuad kendalian Charlesworth menambah jaringan dua minit sebelum penamat hasil jaringan Tristan White. Australia menambah koleksi kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah untuk kali kelapan sepanjang ianya diperkenalkan dengan kemenangan ke atas skuad negara ini.

Walaupun skuad kali ini adalah hasil gabungan pemain muda dan senior, namun aksi sepanjang kejohanan berlangsung amatlah baik dengan melepasi sasaran MHC untuk meraih sekurang-kurangnya kedudukan ketiga terbaik.

Sebulan dari sekarang, skuad negara akan menyertai Hoki Cabaran Juara-Juara yang akan berlangsung di Kuantan dan dijangkakan skuad penuh untuk ke Piala Dunia 2014 bakal dibawa oleh Dharma Raj untuk diuji buat kali terakhir.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top