Home / Kejohanan / Antarabangsa / FIH Men’s Series Final Kuala Lumpur : Kejutan Itali

FIH Men’s Series Final Kuala Lumpur : Kejutan Itali

Ketua pasukan Itali Agustin Nunez meraikan jaringan ke 3 buat pasukan Itali dan membuatkan skuad negara terus berputih mata. Foto oleh Jeffrizal Abu Jaapar

BUKIT JALIL , 29 April 2019 ; Pasukan Itali sekali lagi membuktikan mereka ada pasukan yang harus terus diberi perhatian apabila menjadikan skuad negara mangsa seterusnya dalam aksi terakhir kumpulan B Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 di Stadium Hoki Bukit Jalil malam tadi.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans berkata, “Pemain menunjukkan persembahan di bawah tahap sebenar malam ini, jauh daripada prestasi sebenar mereka.”

“Apapun, kami masih berpeluang untuk menebus kekecewaan dengan bertemu Wales. Tiada siapa sangka, Itali menguasai peringkat kumpulan, inilah kenyataan. Jadi saya harap kami akan berada di sini dengan skrip berbeza bertemu Wales Rabu ini,”kata Roelant.

Pada minit kesembilan, Itali mengejutkan pasukan negara dengan gol pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan kencang oleh Thomas Keenan untuk mendahului 1-0.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Malaysian Tigers terus melancarkan beberapa serangan ke arah kubu Itali dan usaha mereka berhasil apabila Faizal Saari meledak gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-27 untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Bermula separuh masa kedua, Itali sekali lagi di depan apabila Agustin Nunez menolak masuk gol padang setelah menerima hantaran jauh daripada rakan sepasukan untuk keputusan berubah menjadi 2-1 pada minit ke-31.

Empat minit kemudian, pemain negara yang tidak berputus asa untuk bangkit berjaya menyamakan kedudukan menjadi 2-2 menerusi Razie Rahim yang berjaya menolak masuk pukulan sudut penalti.

Namun mereka menerima tamparan apabila Itali kembali mendahului menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-43 hasil jaringan Agustin Nunez sebelum Iawan menambah satu lagi jaringan menjadi 4-2 selang dua minit kemudian melalui gol padang dari sebelah kanan gawang gol oleh Francois Sior.

Dalam satu lagi perlawanan terakhir kumpulan B, China bangkit meraih kemenangan 3-2 mengatasi Brazil untuk berada di kedudukan ketiga kumpulan.

Sementara aksi terakhir kumpulan A yang tamat lebih awal petang tadi menyaksikan Kanada menang 6-2 ke atas Belarus manakala Austria menumpaskan Wales 2-0. Keputusan itu melayakkan Austria secara automatik ke separuh akhir selaku juara kumpulan bersama-sama Itali.

Pasukan di tangga kedua dan ketiga tiap-tiap kumpulan masih berpeluang untuk merebut tempat ke separuh akhir menerusi perlawanan suku akhir yang akan berlangsung Rabu ini. Dua pasukan yang menang akan mengisi baki slot separuh akhir nanti.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top