Home / Kejohanan / Antarabangsa / FIH Men’s series Final Kuala Lumpur : Luka Jakarta di Bukit Jalil

FIH Men’s series Final Kuala Lumpur : Luka Jakarta di Bukit Jalil

Jaringan minit akhir pemain China Dong Yang memadam kelebihan skuad negara dan mengulit kembali luka Jakarta 2018 – Foto oleh Jeffrizal Abu Jaapar

BUKIT JALIL, 28 April 2019;  Skuad negara bagi mengulit kenangan di Jakarta tahun lalu apabila terikat 4-4 dalam pertemuan bertemu pasukan China malam tadi. Lebih memeritkan jaringan penyamaan pasukan China hadir di minit akhir perlawanan setelah skuad negara selesa mendahului pasukan China di separuh masa pertama.

Namun Malaysian Tigers tetap berpeluang ke peringkat separuh akhir secara automatik dengan syarat mereka wajib menang dalam aksi terakhir kumpulan menentang Itali esok untuk muncul selaku juara kumpulan B.

Ketua jurulatih kebangsaan, Roelant Oltmans berkata, “Kami melakukan banyak kesilapan dan kerana itulah China akhirnya berjaya menghasilkan empat gol.”

“Sudah tentu kami akan berbincang mengenai kesilapan dalam sesi latihan dengan pemain esok pagi untuk memastikan mereka lebih mantap dalam perlawanan selepas ini,”katanya.

Mengulas mengenai Itali, Roelant berkata, “Menentang Itali, mereka juga bermain dengan baik dan hanya melepaskan beberapa gol. Struktur pertahanan mereka bagus dan serangan mereka juga melaksanakan tugas dengan baik.”

“Kita akan bersedia menentang Itali. Sudah dua perlawanan Itali bermain dengan baik dan sudah tentu mereka juga akan berhabis-habisan esok. Kita tidak boleh membandingkan perlawanan mereka yang sudah lepas dan apa yang penting, kita perlu menang esok,” ujarnya.

Pemain negara bermula baik apabila melancarkan serangan berbahaya di suku pertama sehingga memaksa pemain pertahanan China menjatuhkan Tengku Ahmad Tajuddin sekaligus menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada pasukan Malaysia di awal aksi.

Ia tidak dipersiakan pemain negara apabila Mohd Fitri Saari berjaya menampan masuk tolakan deras Muhammad Razie Abd Rahim di depan gawang China untuk kedudukan 1-0 pada minit keempat. Kedudukan itu kekal hingga separuh masa pertama.

Di babak kedua, Malaysia semakin selesa apabila mereka menjarakkan kedudukan kepada 2-0 hasil gol padang Muhammad Firhan Ashari yang menerima hantaran Norsyafiq Sumantri selepas dia menyungkit bola melepasi jangkauan penjaga gol China pada minit ke-34.

Bagaimanapun, skrip mula berubah apabila China bangkit merapatkan kedudukan menjadi 2-1 melalui pukulan sudut penalti hasil tolakan Lin Changliang pada minit ke-43. Pada minit ke- 51, China sekali lagi menggunakan peluang terhidang apabila menyamakan kedudukan menjadi 2-2 hasil penyudah pukulan sudut penalti oleh Ao Weibao.

Malaysia kembali berada di depan untuk kedudukan 3-2 hasil pukulan sudut penalti Tengku Tajuddin pada minit ke-53 sebelum China menyamakan kedudukan 3-3 seminit selepas itu melalui tolakan pukulan sudut penalti yang dijaringkan pemainnya, Du Talake.

Malaysia dilihat berada di ambang kemenangan apabila berjaya menyumbat gol keempat menerusi gol padang tampanan Tengku Tajuddin di minit ke-57 namun China melakukan kebangkitan dramatik seminit sebelum perlawanan tamat, sekali lagi hasil daripada gol pukulan sudut penalti Dong Yang pada minit ke-59 untuk kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Malaysia kini di tangga kedua kumpulan dengan mengumpulkan empat mata. Itali yang menunjukkan persembahan diluar jangkaan pula mendahului kumpulan dengan enam mata hasil dua kemenangan manakala China di tangga ketiga dengan satu mata dan Brazil terbawah selepas dua kekalahan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B yang berlangsung lebih awal hari ini, pasukan Itali mengutip kemenangan kedua berturut-turut. Pada aksi itu, Itali mengatasi Brazil 3-0 selepas mengejutkan China 2-1 dalam perlawanan pertama sebelum ini. Untuk perlawanan terakhir kumpulan B esok, Malaysia menentang Itali dan China pula bakal bertemu Brazil. Dalam aksi terakhir kumpulan A pula, Kanada akan bertemu Belarus manakala Wales melawan Austria.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top