Home / Kejohanan / Antarabangsa / FIH Men’s Series Kuala Lumpur : Malaysia tepati ramalan ke Final

FIH Men’s Series Kuala Lumpur : Malaysia tepati ramalan ke Final

Marhan Jalil meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. Foto oleh : Jeffrizal Abu Jaapar

BUKIT JALIL ,3 Mei 2019; Pasukan hoki negara berjaya menangkis kritikan awal dan seterus nya menepati ramalan untuk melangkah ke pentas final Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 apabila berjaya menewaskan Austria 3-1 pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Menanti skuad negara final esok adalah Kanada yang mara setelah menumpaskan Itali 3-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung petang tadi.

Malaysia bermula baik apabila menguasai suku pertama perlawanan. Pasukan negara hampir berada di depan seawal minit ke-6 apabila gerakan cantik Muhammad Azrai Abu Kamal berjaya melolos masuk ke kawasan penalti Austria namun gagal disudahkan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook.

Pada minit ke-11, Malaysian Tigers yang memperoleh pukulan sudut penalti yang pertama berjaya berada di depan apabila Faizal Saari menyudahkannya untuk kedudukan 1-0. Keputusan itu kekal sehingga tamat separuh babak pertama.

Dua minit selepas babak kedua bermula, Austria yang ketinggalan membuatkan kem Malaysia tersentap seketika apabila berjaya menyamakan kedudukan menjadi 1-1 selepas Leon Thornblom mudah menampan masuk jaringan menerusi gol padang.

Penantian pasukan negara yang mendapat sokongan ribuan penyokong yang hadir akhirnya terlerai apabila Muhammad Marhan Mohd Jalil berjaya menghidu peluang terhidang daripada pukulan sudut penalti. Dia yang berada di hadapan gawang lawan berjaya menolak masuk bola ke dalam gol Austria pada minit ke-55 untuk Malaysia kembali mendahului 2-1.

“Pesta” ke final tidak berakhir disitu sebaliknya bertambah meriah apabila Meor Muhammad Azuan Hasan pula meledak satu lagi gol padang pada minit ke-58 sekaligus melengkapkan kemenangan bergaya pasukan negara ke atas Austria.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans yang ditemui di sidang media berkata, “Selepas kedudukan terikat satu sama, kita boleh lihat yang pemain kembali mendapat aksi sebenar di suku terakhir. Saya mengarahkan pemain bermain dengan lebih laju dan mereka melakukannya dengan cemerlang,” katanya.

Mengenai pertemuan final dengan pasukan ranking ke-10 dunia, Kanada esok, Roelant berkata, “Kami pernah bermain dengan Kanada dalam tempoh terdekat sebelum ini. Namun, saya tidak menyaksikan aksi mereka dalam kejohanan ini kerana memberikan perhatian untuk aksi menentang Wales dan juga separuh akhir ini untuk mara ke final sekaligus layak ke pusingan kelayakan seterusnya.

“Itu target utama kita (melangkah ke pusingan kelayakan seterusnya) dan ianya sudah mencapai sasaran. Kini kami sudah ke final sudah tentu saya harapkan kami akan menjadi juara,” tambah Roelant.

Keputusan Separuh Akhir Hari Ini:

Itali 1-3 Kanada

Austria 3-1 Malaysia

Jadual Esok:

Penentuan tempat ke-3/4 (5.50pm)

Itali lwn Austria

Final (8.05pm)Kanada lwn Malaysia

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top