Home / Kejohanan / Antarabangsa / FIH Series Final : Malaysia Bersamba

FIH Series Final : Malaysia Bersamba

Pemain muda negara Azrai Aizad meraikan jaringan buat skuad negara. Foto oleh : Jeffrizal Abu Jaapar

BUKIT JALIL , 26 April 2019; Pasukan hoki negara mendapat suntikan semangat selepas berjaya melakar kemenangan besar 6-0 ke atas Brazil dalam aksi pertama kumpulan B pada Kejohanan FIH Siri Akhir Lelaki Kuala Lumpur 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Biarpun begiti, pasukan negara mempamerkan aksi kurang memberangsangkan di babak awal permainan. Malah pasukan negara yang dilihat mudah untuk memenangi perlawanan ini dipaksa berhempas pulas sehingga tamat separuh masa pertama kedudukan kedua dua pasukan masih terikat tanpa jaringan. Ini jelas meresahkan sebilangan penyokong yang hadir kerana dua perlawanan awal sebelum ini telah memperlihatkan dua pasukan pilihan China dan Kanada tumpas pada lawan masing masing.

Najmi Farizal Jazlan terus melegakan penyokong yang hadir apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-38 untuk membolehkan Malaysia di depan 2-0. Pasukan negara semakin selesa apabila giliran Fitri Saari pula menghasilkan gol dari pukulan sudut penalti pada minit ke-48 untuk kedudukan dijarakkan kepada 3-0.

Norsyafiq Sumantri melegakan skuad kebangsaan apabila membuka tirai jaringan di minit ke 32 perlawanan. Foto oleh : Jeffrizal Abu Jaapar

Sebaik sahaja bersambung separuh masa kedua, usaha pasukan negara akhirnya mula membuahkan hasil melalui gol padang apabila hantaran Tengku Tajuddin Tengku Abdul Jalil berjaya disudahkan oleh Norsyafiq Sumantri pada minit ke-32 untuk kedudukan 1-0.

Malaysia memperoleh gol ke-4 apabila Meor Mohamad Azuan Hasan membawa bola masuk ke dalam kawasan D disusuli pukulan penyudah pada minit ke-53. Selang seminit kemudian giliran Azrai Aizad Abu Kamal menambah satu lagi gol padang untuk kedudukan 5-0 pada minit ke-54 pemain pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim melengkapkan kemenangan 6-0 melalui penyudah pukulan sudut penalti pada minit ke-56.

Mengulas aksi pasukan negara, Ketua Jurulatih, Roelant Oltmans berkata, “Kami perlu mencipta ruang untuk bermain sebagaimana dimahukan di separuh masa kedua kerana Brazil berjaya bermain dengan bagus untuk menutup ruang sekaligus menyukarkan kami di awal perlawanan.”

“Dalam kejohanan ini, kami dapat melihat ianya bukan mudah. Setiap pasukan melakukan persiapan dengan rapi dan dapat dilihat dua pasukan pilihan tewas mengejut hari ini.

“Brazil datang ke sini dan mahu mendapatkan keputusan positif ke atas kami, boleh nampak mereka bermain dengan bagus di awal perlawanan serta mencipta peluang menjaringkan gol,” kata Roelant.

Mengenai tiga gol yang terhasil daripada pukulan sudut penalti, Roelant berkata, “Kami menyempurnakan 3 daripada 7 pukulan sudut penalti, nampaknya sesuatu yang bagus kepada pasukan. Kami telah melepasi sasaran dalam pukulan sudut penalti, jadi saya gembira dengannya,”ujarnya.

Itali melakar kejutan dalam satu lagi perlawanan kumpulan B apabila mereka menewaskan China dengan keputusan 2-1.

Sementara itu, dalam aksi kumpulan A yang berlangsung lebih awal, Austria mencatatkan kemenangan sulung setelah membenam Belarus 5-0. Sementara pasukan di ranking ke-10 dunia, Kanada turut dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada pasukan di ranking ke-24, Wales.

Jurulatih Wales, Daniel Newcombe berkata, “Ranking tidak mencerminkan keupayaan skuad kami. Secara fizikal, kami berjaya menyesuaikan diri dengan baik disini.”

“Kami memanfaatkan peluang dengan baik. Bagi saya, pukulan sudut penalti kami tadi antara yang

terbaik sekaligus memberikan kemenangan kepada pasukan Wales,”katanya.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top