Home / Kejohanan / Antarabangsa / FIH World Series Kuala Lumpur : Misi Ke Tokyo bermula disini.

FIH World Series Kuala Lumpur : Misi Ke Tokyo bermula disini.

Impian ke Tokyo hampir menjadi kenyataan ketika sukan Asia Jakarta 2018 namun hampa tewas ditangan pasukan Jepun

Jika dikenang peristiwa Jakarta 2018 , pasti bukan sahaja pemain namun peminat skuad hoki negara seakan tidak percaya apa yang terjadi. Ketika tiket ke Tokyo hampir pasti berada dalam genggaman namun 10 saat terakhir memusnahkan nya. Semua nya sudah menjadi kenangan yang cukup pedih untuk ditelan.

Peluang yang terlepas biarlah menjadi sejarah. Kini peluang ke Tokyo terbuka kembali. Misi pertama adalah wajib menjadi 2 pasukan terbaik di FIH World Series Kuala Lumpur yang akan bermula esok bagi membolehkan skuad negara layak ke Final FIH World series yang akan menawarkan tempat ke Tokyo 2020.

Jika direnung,ditilik dan dikaji nampak misi 2 tempat terbaik kejohanan wajib dicapai kerana jika mengikut rangking semua pasukan yang bertanding hanya Kanada sahaja yang berada di rangking di atas skuad negara. Namun kebangkitan hebat pasukan China dilihat mampu membuatkan skuad negara berputih mata jika tidak diberi perhatian sepenuh nya.

Skuad negara kali ini dilihat menggandingkan pemain pemain muda dan senior yang diatas kertas rencah yang ditabur Roeland mampu menggenggar Bukit Jalil. Malah yang lebih menarik nya Roeland dilihat cukup yakin dengan gandingan tengah Fitri Saari, Meor Azuan dan Ashran Hamsani. Gandingan baru yang seakan menampakkan inilah gandingan masa depan skuad negara.

Gandingan Syadiq Sumantri, Nik Aiman dan Faizal Saaari pasti menjadi taruhan buat skuad negara membilang jaringan mengutip kemenangan sambila akan diselang seli dengan ‘tarian’ pemain cukup pengalaman Tengku Ahmad Tajudin. Barisan serangan sudah tidak ada alasan untuk katakan tidak dengan kemarau jaringan.

Kehadiran semula Syed Mohamad Syafiq pasti menjadi tambahan idea buat set piece pukulan sudut penalti negara yang sudah pun memilliki Razie Rahim dan Faizal serta tidak lupa bekas pakar pukulan sudut penalti skuad remaja negara satu masa lalu Najmi Farizal Jazlan. Malah Roeland sudah pun melaungkan kejohanan kali ini skuad negara akan menampilkan lebih banyak lagi variasi pukulan sudut penalti.

Jika di Piala Sultan Azlan Shah yang lalu, skuad negara dilihat sedikit rapuh dibahagian pertahanan, nafas dan degupan jantung seluruh peminat mungkin boleh kembali lega apabila ketua pasukan negara Sukri Mutalib sudah pun disahkan cergas semula bagi mengetuai pasukan dan seterusnya mengukuhkan kembali barisan pertahanan negara.

Mungkin sedikit kerisauan skuad negara adalah ketiadaan S Kumar di benteng terakhir skuad negara. Namun jangan di lupa, pengganti beliau Hairi Abdul Rahman juga tidak kurang hebat nya. Penampilan di Ipoh bulan lalu cukup untuk menceritakan bahawa beliau kini sudah cukup bersedia untuk menggantikan tempat S Kumar.

Setelah dilihat kepada gandingan yang di bawa oleh Roeland tidak mustahil dua tempat terakhir boleh dicapai namun secara sinis nya skuad negara tidak mempunyai alasan lagi untuk tidak bergelar juara di bumi bertuah ini.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top