Home / Berita & Artikel / Hanya terbaik dipilih – Harian Metro 26 April 2014

Hanya terbaik dipilih – Harian Metro 26 April 2014

Kuantan: Tiada istilah pilih kasih buat pengendali hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj dengan hanya yang terbaik terpilih dalam senarai 18 pemain untuk menggalas cabaran negara di Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 yang bermula hari ini.

Jurulatih negara itu melakar kejutan apabila menggugurkan bekas kapten negara, Mohd Shahrun Nabil selain Muhammad Razie Abd Rahim dan Muhamad Ramadan Roslan atas alasan kecederaan, semalam.

Dhaarma tidak menafikan yang keputusan itu terpaksa dilakukan demi memenuhi impian bergelar juara kejohanan membabitkan lapan negara itu.

“Saya mengambil masa lama sebelum menggugurkannya (Shahrun) dan ia bukannya perkara kecil kerana sumbangan dia kepada negara sebelum ini cukup besar. Namun kami perlu membuat keputusan itu,” katanya.

FotoAKSI skuad negara ketika perlawanan persahabatan menentang Ireland, Selasa lalu.

Beliau turut mengakui tertekan seandainya skuad negara gagal menghasilkan keputusan baik di kejohanan ini susulan pengguguran berkenaan.
“Saya faham apa yang boleh berlaku (apabila menggugurkan pemain berpengalaman) namun saya sudah memikirkan semasak-masaknya dan membuat keputusan terbaik untuk pasukan ini.

“Kita mahu pemain senior faham kerana mereka sudah lama bermain bersama. Kita tidak mahu sesiapa anggap kita menganiaya mana-mana pemain. Ini bukan keputusan saya saja tapi kumpulan jurulatih sepakat membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya, senarai 18 terakhir itu juga dibuat berdasarkan persembahan pemain dalam beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk pertemuan dengan China, Ireland dan Poland.

“Bagaimanapun, pemain yang digugurkan masih lagi berpeluang mewakili negara ke Piala Dunia bulan depan,” katanya.

Malaysia akan membuka cabaran dengan menentang Perancis dalam aksi pembukaan malam ini.

“Perlawanan malam ini penting untuk kami meraih kemenangan bagi bergelar juara kumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

artikel diambil dari http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaterbaikdipilih/Article/index_html

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top