Home / Kejohanan / Antarabangsa / Malaysia Menang Bergaya

Malaysia Menang Bergaya

_DSC0140Oleh Al-Zaem

IPOH, 19 Mac 2014 : Beraksi tanpa penjaring terbanyak, Faizal Shaari yang digantung satu perlawanan dalam aksi keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah tidak mengganggu rentak skuad hoki negara apabila berjaya menundukkan China 7-3 di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Malaysia beraksi dengan penuh keyakinan dan telah memanfaatkan semua peluang yang didapati. Tempo menyerang yang diterapkan oleh jurulatih, Muhammad Dharma Raj Abdullah telah membuahkan hasil apabila skuad negara mendahului babak pertama dengan lima gol tanpa balas.

Walaubagaimanapun, skuad negara tampak tertekan pada awal aksi dengan China memperolehi pukulan sudut penalti seawal minit keempat, namun gagal disempurnakan dengan baik.
Tersentak dengan serangan pasukan lawan, Muhammad Marhan Jalil akhirnya membuka jaringan buat skuad negara dua minit kemudian menerusi percubaan ke sudut kanan gawang lawan. Minit ke-9, giliran kapten, Azlan Misrun pula menjaringkan gol berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Malaysia terus mengasak kubu China dan pada minit ke-24, sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti, Izat Hakimi Jamaluddin menjadikan kedudukan 3-0 untuk Malaysia. Berselang dua minit, Tengku Ahmad Tajuddin pula tampil menjaringkan gol keempat buat skuad negara serta gol pertama peribadinya untuk kejohanan kali ini.
Skuad kendalian Dharma Raj memperolehi gol kelima pada minit ke-31 hasil jaringan sendiri pemain China, Dong Yang hasil asakan Shahril Saabah di depan gawang lawan.

_DSC0151
Memasuki babak kedua, skuad negara kelihatan menggendurkan asakan dan memperlahankan tempo perlawanan. Natijahnya, E. Liguang menjaringkan gol pertama skuad China hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-44 namun Fitri Shaari pantas membalas dengan gol keenam Malaysia hasil pukulan penalti stroke seminit kemudian.

Firhan Ashaari menambah derita skuad China apabila menggegar gol lawan pada minit ke-62 untuk Malaysia mendahului aksi dengan jaringan 7-2. Gol itu mengubati kegagalannya yang berpeluang menjaringkan gol sebelum itu, setelah penjaga gol China tangkas menafikan ruang buatnya di depan gol.

Sebelum itu, skuad China menjaringkan gol menerusi pukulan penalti stroke pada minit ke-61 dan menutup aksi dengan gol terakhir mereka pada minit ke-66, kedua-duanya hasil jaringan Du Talake.

Malaysia memintas kedudukan Australia selaku pendahulu kumpulan dengan 10 mata, lebih satu perlawanan. Australia akan turun menentang pasukan kedudukan ketiga, Korea Selatan malam ini.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top