Home / Kejohanan / Antarabangsa / Malaysia Speedy Tigers Buat Penyokong ‘Kecut’

Malaysia Speedy Tigers Buat Penyokong ‘Kecut’

Hoki

Oleh Yop Gagap

Skuad negara memperagakan aksi yoyo dalam perlawanan kedua Piala Sultan Azlan Shah 2016 apabila sekadar menang tipis keatas Jepun walaupun satu ketika mendahului dengan selesa dalam perlawanan yang sengit di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Anak buah Stephen Van Huizen yang selesa mendahului lawan dengan keputusan 4-1 akhirnya menamatkan perlawanan tersebut dengan debaran apabila membenarkan Jepun 2 kali membolosi gawang skuad negara pada minit-minit akhir perlawanan.

Segalanya tampak berada di landasan yang tepat apabila pakar pukulan sudut penalti yang juga merupakan ketua pasukan, Razie Rahim menyempurnakan dengan baik pukulan sudut penalti untuk jaringan pendahuluan pantas pada minit ke-3 perlawanan.

Jaringan tersebut tidak langsung menjejaskan semangat Shota Yamada dan rakan sepasukan apabila terus mengasak ke kubu skuad negara dan hasilnya tidak sampai seminit Hiroki Sakamoto pula menyudahkan pukulan sudut penalti bagi jaringan penyamaan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, skuad negara terus menyusun serta merencana beberapa gerakan menarik dan sekali lagi Razie Rahim menggegar gawang Jepun untuk jaringan kedua peribadi beliau yang juga untuk skuad negara kembali mendahului lawan.

Haziq Samsul menambah derita skuad bimbingan Takahiko Yamabori apabila menyumbat jaringan ke-3 buat tuan rumah untuk menamatkan saingan di suku pertama perlawanan dengan kedudukan 3 gol berbalas 1.

Jaringan keempat skuad negara terhasil apabila dianugerahkan ”penalty stroke” dan Fitri Saari tidak berdepan sebarang masalah untuk terus melebarkan pendahuluan buat skuad negara.

Memasuki suku keempat perlawanan, Jepun jelas mempamerkan semangat pejuang samurai seperti yang dinyatakan pada artikel terdahulu apabila berusaha keras untuk mendapatkan jaringan dan segala usaha yang dilakukan membuahkan hasil apabila Shota Yamada berjaya menyempurnakan 2 pukulan sudut penalti pada minit ke-54 dan 60 untuk terus menekan tuan rumah.

Namun usaha untuk mencuri sekurang-kurangnya 1 mata terkubur apabila barisan pertahanan skuad Malaysia Speedy Tigers berjaya mengekang kemaraan lawan untuk terus mendapatkan jaringan bagi keputusan akhir perlawanan Malaysia menang dengan keputusan 4-3.

Dengan kemenangan ini membolehkan skuad negara melonjak ke tangga pertama saingan setelah tamat 2 perlawanan. Kesemua pasukan akan berehat sehari dan akan meneruskan aksi pada Sabtu ini dimana skuad negara berdepan tugas getir apabila dijadualkan akan bertemu gergasi dunia, Australia pada 8.35 malam.

About Meor Abdullah Syamim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top