Home / Berita & Artikel / Medan nilai kemampuan – harian metro 26 April 2014

Medan nilai kemampuan – harian metro 26 April 2014

Kuantan: Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 menyediakan medan terbaik buat skuad hoki negara menilai kemampuan sendiri menjelang Piala Dunia bulan depan.

Saingan yang berlangsung di Stadium Wisma Belia, Kuantan bermula hari ini bakal menampilkan lapan pasukan bersaing dengan New Zealand dan Korea Selatan menjadi pencabar utama skuad negara.

New Zealand akan mengetuai Kumpulan A diiringi Jepun, Ireland dan Poland manakala Malaysia dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Selatan, Kanada dan Perancis.

Walaupun sukar diramalkan untuk melangkah ke pentas final, ia bukanlah halangan buat anak buah Muhammad Dhaarma Raj untuk tampil memberikan aksi terbaik terutamanya beraksi di depan penyokong sendiri.

FotoDHARMA

Malah mereka sudah membuktikan pada Mac lalu apabila bergelar naib juara Piala Sultan Azlan Shah, tewas kepada pasukan nombor satu dunia, Australia di pentas final.
Jadi tidak mustahil buat mereka sekali lagi membuktikan keajaiban boleh dilakukan dengan misi awal membaiki kedudukan tempat keempat pada edisi 2001 dan 2012.

Tampil dengan lapan pasukan yang bertanding, Malaysia adalah pasukan ketiga terbaik di ranking ke-13 dunia dalam kejohanan ini di belakang New Zealand (6) dan Korea Selatan (7).

“Memang kehadiran New Zealand memberikan kesukaran kepada kita. Namun kita akan mencuba sebaik mungkin selain sedikit nasib akan membantu kita. Malah kita pernah menewaskan mereka sebelum ini.

“Korea Selatan pula menambahkan kekuatan mereka berbanding di Piala Sultan Azlan Shah. Ada pemain yang tiada di sana sudah di bawa ke Pahang kali ini. Ini bermakna mereka serius dengan kejohanan ini,” kata Dhaarma.

Korea Selatan dilihat pilihan muncul juara Kumpulan B selepas meraih Piala Asia tahun lalu apabila membariskan pemain berpengalaman iaitu hanya lima daripada 18 pemain mereka beraksi kurang daripada 100 perlawanan untuk negara itu.

Namun kekuatan di atas kertas tidak semestinya menggambarkan kehebatan di padang dengan kombinasi pemain senior dan muda negara dilihat semakin mempamerkan peningkatan untuk memastikan kedudukan terbaik peringkat kumpulan sekali gus mencari laluan lebih mudah di suku akhir.

Kumpulan A pula menyaksikan New Zealand hampir pasti tidak mampu digugat apabila dijangka mudah mengatasi cabaran Jepun, Ireland dan Poland.

Anak buah Calin Both tampil dengan reputasi hebat sebagai naib juara Liga Hoki Dunia di India selain turut mempersiapkan pasukan untuk ke Piala Dunia seperti Malaysia dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

artikel diambil dari  http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Medannilaikemampuan/Article/index_html

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top