Home / Berita & Artikel / Pengalaman Adalah Guru Terbaik

Pengalaman Adalah Guru Terbaik

 

 

Artikel oleh Al Zaem

Sas

Tiada keajaiban mampu dijelmakan skuad hoki Piala Dunia Malaysia sepanjang berlangsungnya Hoki Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda. Skuad yang dibimbing Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu gagal meraih sebarang mata malah tewas dalam semua perlawanan termasuk dalam aksi penentuan kedudukan ke-11/12 menentang Afrika Selatan.

Skuad negara tumbang dalam semua aksi iaitu kepada Australia (0-4), Belgium (2-6), England (0-2), India (2-3), Sepanyol (2-5) dan Afrika Selatan (2-6). Dhaarma mula dilantik sebagai ketua jurulatih pada awal Januari yang lalu selepas Paul Revington meletakkan jawatan buat kali kedua dan kemudian mula membentuk skuadnya ini dalam tempoh kurang empat bulan sebelum berangkat ke Belanda.

Gabungan pemain remaja kendaliannya bersama pemain skuad senior menampakkan kelonggaran terutamanya di bahagian pertahanan dengan purata bolos empat gol dalam setiap perlawanan. Malaysia juga kerap melepaskan banyak gol apabila perlawanan memasuki babak kedua.

70 peratus daripada jumlah gol pihak lawan adalah dalam aksi babak kedua perlawanan dan 10 daripada gol tersebut dijaringkan di antara minit ke-45 hingga 54. Gol paling banyak dilepaskan dalam babak kedua adalah ketika aksi terakhir menentang Afrika Selatan iaitu sebanyak enam gol.

Kekurangan ini telah dapat dihidu ketika mereka beraksi di Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di Kuantan pada awal Mei yang lalu. Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pernah menegur tahap kecergasan skuad negara pasca kejohanan tersebut dimana perlu diperbaiki menjelang aksi Piala Dunia.

“Saya berikan fleksibiliti itu kepada jurulatih, sama ada dia mahukan pemain junior atau senior namun apa yang lebih penting saya mahu tahap kecergasan mereka diperbaiki,” titah baginda ketika itu.

Keluarga hoki negara juga mungkin masih terasa dengan kehilangan mendiang Chua Boon Huat yang meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya dan kemangkatan bapa hoki negara, Almarhum Sultan Azlan Shah. Moral dan semangat mereka mungkin sedikit terusik dengan dua kehilangan besar ini.

Impaknya mungkin tidaklah sebesar mana namun ianya sedikit sebanyak mungkin memberi kesan kepada para pemain negara. Boon Huat adalah pemain paling berpengalaman yang kembali mendapat tempat dalam skuad kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaubagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk mereka tidak dapat memberikan aksi terbaik sepanjang Piala Dunia berlangsung. Psikologi mereka mungkin sedikit tergugat tetapi semangat juang boleh mengatasi kekurangan tersebut sekiranya mereka ingin mencapai sesuatu dalam Piala Dunia.

Selain itu, kekuatan dari segi pengalaman juga mungkin boleh dipertimbangkan. Malaysia memerlukan hampir 12 tahun untuk kembali beraksi di pentas Piala Dunia. Satu tempoh yang cukup lama. Walaupun Malaysia beraksi baik dalam beberapa kejohanan sejak kebelakangan ini, namun corak taktikal dan permainan pasukan lawan nyata jauh berbeza mengatasi skuad negara.

Ini turut diakui Dhaarma selepas melihat skuadnya tewas semua aksi kumpulan. Ujarnya, pasukan lawan jauh lebih berpengalaman berbanding skuad negara sambil berharap pengalaman beraksi di Piala Dunia kali ini akan mengubah cara permikiran dan gaya permainan skuad negara pada kejohanan akan datang.

“Terima saja hakikat itu, pasukan kita masih jauh berbanding pasukan elit lain. Lagipun, rata-rata tonggak pasukan datangnya daripada pemain muda dan kebanyakan jurulatih di sini melihat Malaysia sedang membina sebuah pasukan yang kuat untuk masa depan,” tambahnya lagi.

Sasaran awal MHC terhadap skuad ini untuk menempatkan diri di kalangan sepuluh pasukan terbaik juga gagal dan secara tidak langsung ianya telah mengundang rasa kecewa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

“Dalam hal ini, MHC perlu memberi perjelasan adakah kerana jurulatih dan juga penglibatan pemain muda menjadi punca utama kegagalan skuad negara di Piala Dunia,”

“Saya tidak mahu membuat kesimpulan atau perbandingan mengenai cara jurulatih melatih pemain. Tidak dinafikan isu melatih pemain sesuatu yang serius namun saya perlu menunggu laporan penuh MHC sebelum membuat sebarang komen,” menurut Khairy Jamaluddin yang menuntut laporan penuh daripada MHC selepas melihat aksi yang mengecewakan skuad negara.

Hanya beberapa pemain yang boleh dikategorikan beraksi pada tahap yang baik antaranya Razie Abd. Rahim yang menyumbang tiga daripada lapan gol buat skuad negara walaupun baru pulih daripada kecederaan bahu dan S. Kumar yang tangkas menjadi penyelamat skuad negara daripada tumbang dengan jurang jaringan yang lebih besar. Selebihnya boleh dikatakan beraksi di bawah tahap sebenar.

Pertengahan September ini, skuad negara akan beraksi dalam Sukan Asia 2014 di Korea Selatan dalam misi untuk memburu slot automatik ke Sukan Olimpik 2016. Gagal di Sukan Asia bermakna skuad negara akan kempunan untuk layak ke Sukan Olimpik yang kali terakhir dilakukan pada tahun 2000.

Ayuh, jadikan pengalaman beraksi di Piala Dunia ini sebagai satu permulaan kepada sesuatu yang lebih besar di masa hadapan. Walaupun ianya pahit untuk ditelan, namun pengajaran yang diterima amatlah berharga. Bak kata pepatah, pengalaman adalah guru yang terbaik.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top