Home / Kejohanan / Antarabangsa / Piala Sultan Azlan Shah 2019 : Samurai tunduk

Piala Sultan Azlan Shah 2019 : Samurai tunduk

Pemain negara Faizal Saari meraikan jaringan buat negara dalam pertemuan menentang Jepun Malam tadi : Foto Oleh Shah Bekson

Artikel Oleh Meor Abdullah Syamim

Ipoh, 24.03.2019; Skuad negara berjaya menyerap tekanan Jepun untuk mencatatkan kemenangan 4-3 pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah 2019 yang berlangsung di Stadium Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi.
Malaysia bermula dengan cukup meyakinkan dalam usaha meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-3 permainan menerusi peledak berbisa, Faizal Saari.
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi  yang bertindak cemerlang  merampas bola dari kawalan pemain Jepun melakukan hantaran terus kepada Faizal dan percubaan daripada penyerang kelahiran Terengganu melepasi celah kaki penjaga gol, Yusuke Takano.
Tiga minit kemudian, Takano sekali lagi dihukum menerusi gol padang apabila Nik Aiman yang menerima hantaran daripada Mohd Ashran Hamsani tidak melepaskan peluang meledakkan rembatan padu yang mencari sebelah kanan penjaga gol tersebut untuk gol kedua buat skuad negara.
Jepun hampir mendapatkan jaringan pertama mereka menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-12 tetapi tolakan deras Hirotaka Zendana ditolak keluar Najmi Farizal Jazlan.
Ketika aksi suku kedua baru berusia dua minit, Kazuma Murata membuatkan kem negara tergamam buat seketika menerusi jaringan padang cantik yang mencari ‘top corner’ pintu gol mengakibatkan penjaga gawang, Muhammad Hairi Abd Rahman tidak mampu menyelamatkan keadaan.
Faizal Saari meneruskan kecemerlangannya setelah beliau sekali lagi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-25. Jaringan tersebut terhasil selepas Faizal pantas melakukan kuisan yang menewaskan Takano, berpunca daripada gerakan lincah dimulakan oleh Norsyafiq Sumantri. Gol itu merupakan jaringan kelima peribadi buat Faizal dalam kejohanan ini.
Jepun yang terkenal dengan semangat juang kental tidak memberikan laluan mudah buat anak buah Roelant Oltmans apabila merapatkan jurang pada minit ke-37 menerusi jaringan padang oleh Kota Watanabe.
Memasuki  15 minit terakhir, skuad negara kembali memperkemaskan aksi dan hampir menambah jaringan pada minit ke-48, bagaimanapun Takano tangkas menafikan dua percubaan berturut-turut yang dilakukan Faizal Saari.
Razie Abd Rahim menggembirakan kembali penyokong setia  berselang lima minit kemudian selepas berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti yang terus menerjah gawang Jepun.
Kelebihan dua jaringan itu hanya bertahan seminit apabila Koji Yamasaki menolak mudah hasil hantaran jauh dilakukan rakan sepasukannya bagi memberikan tekanan buat skuad negara.
Namun,kekentalan yang dipamerkan pertahanan skuad negara menggagalkan usaha Jepun untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata.
Dengan kemenangan kedua yang diraih meletakkan Malaysia terus di menghuni tangga teratas saingan dengan mengumpul enam mata

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top