Home / Kejohanan / Piala TNB 2018 : UniKL Cipta Kejutan

Piala TNB 2018 : UniKL Cipta Kejutan

Glenn Turner menambah luka buat pasukan THT apabila mudah menewaskan penjaga gol THT Hafizzudin

KUALA LUMPUR ,4 FEBRUARI 2018; Kejutan dilakar UniKL selepas berjaya menewaskan juara Liga Perdana, THT 4-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala TNB di Stadium Hoki Nasional hari ini sekali gus memperoleh bekalan selesa menjelang aksi timbal balik, Rabu ini.

THT gagal mempamer corak permainan sebenar, sebaliknya UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj dilihat begitu bersungguh-sungguh untuk menewaskan lawan mereka itu.

Tonggak import, Kieran Ian Govers meletakkan UniKL di depan minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Jeroen Dolf Hertzberger menambah gol kedua minit ke-32 hasil jaringan padang.

Ketika THT sedang berusaha untuk merapatkan jurang, Glenn Stewarts Turner menambah derita skuad bimbingan Sarjit Singh dengan meledak gol ketiga menerusi jaringan padang minit ke-41.

Hertzberger menjadikan kedudukan 4-0 selepas tenang menguis masuk pukulan sudut penalti minit ke-48 sebelum Joaqin Menini menghadiahkan gol saguhati untuk THT minit ke-51 hasil jaringan padang.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj nyata gembira dengan keputusan itu kerana beliau sendiri tidak menjangkakan barisan pemainnya dapat meraih kemenangan selesa.

“Semua pemain nyata mempamerkan aksi terbaik. Kami berjaya mengawal bola sepanjang perlawanan.

“Bagi saya, mereka memang berhak untuk memenangi perlawanan ini.

“Apapun kami baru melalui satu perlawanan. Masih ada baki satu perlawanan lagi yang perlu diharungi.

“Kami perlu memanfaatkan tempoh rehat selama tiga hari dengan sebaik-baiknya dan kembali fokus untuk perlawanan separuh akhir kedua,” katanya.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top