Home / Kejohanan / Razak Cup 2019 : Yop “Berjerebu”

Razak Cup 2019 : Yop “Berjerebu”

Penjaga gol pasukan Melaka Mohammad Ridzwan bin Azmi beraksi cemerlang menghalang asakan pasukan Perak

KUALA LUMPUR ,22 SEPTEMBER 2019; Reputasi pasukan Perak selaku juara bertahan hampir tergugat apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Melaka dalam aksi kedua Kumpulan A saingan Divisyen 1 TNB Piala Tun Abdul Razak 2019.

Susulan kekalahan kepada Johor dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu, hanya kemenangan mampu cerahkan peluang Perak andai ingin buru tempat ke separuh akhir namun terpaksa akur dengan ketumpulan penyudah.

Hasrat Johor mencatat kemenangan kedua dihalang setelah dipaksa terikat 2-2

Dalam pada itu hasrat Johor untuk raih kemenangan kedua berturut-turut bagi buru slot awal ke separuh akhir tidak menjadi kenyataan apabila terikat 2-2 dengan PDRM.

Jaringan padang Muhammad Shafiq Hassan serta Muhajir Abdu Rauf hampir memastikan kemenangan buat Johor namun penalty stroke oleh Baljit Singh Sarjab Singh pada minit ke-53 jadi penyelamat buat PDRM.

“Kami bermain dengan baik, itu lebih penting kerana mereka masih muda. Kami masih punyai satu lagi perlawanan dan jika ingin ke separuh akhir kami perlu pastikan peroleh kemenangan ke atas Melaka, Selasa ini”, jelas jurulatih Johor, Sarjit Singh.

Beralih ke Divisyen 2, tiada kesukaran buat Selangor apabila melakar kemenangan besar 5-1 ke atas Perlis, dibantu dengan jaringan antaranya menerusi Abdul Rauf Nazri, Faridzul Afiq Mohd dan Muhamad Fahmi Zaharman.

Perlawanan Divisyen 2 yang lain menyaksikan ATM memperoleh kemenangan pertama selepas mengatasi Kedah dengan keputusan 3-1.

Ia dibantu hasil dua jaringan menerusi pukulan sudut penalti oleh Ahmad Rihwan Zainal Abidin pada minit ke-21 dan 51 perlawanan.

Manakala Negeri Sembilan mencatat kemenangan kedua berturut-turut, kali ini menepikan tentangan Kelantan untuk kemenangan 3-0.

Saingan Wanita pula menyaksikan dua perlawanan Kumpulan B dilangsungkan pada sebelah pagi dengan Selangor membuka kempen kali ini dengan mengatasi Melaka.

Dua jaringan Nurul Natasha Fairuz memastikan kemenangan memihak Selangor dengan gol sagu hati Melaka dijaringkan oleh Norshafiqha Ishak.

Manakala pertemuan membabitkan ATM dan Terengganu berakhir dengan keputusan 1-1 dengan Tuan Nur Hidayah terlebih dahulu meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-13 sebelum Siti Noor Amarina Ruhani membalas buat ATM menerusi penalty stroke.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top