Home / Berita & Artikel / Razie akan dipanggil jika cemerlang – Utusan Malaysia 21/04/2014

Razie akan dipanggil jika cemerlang – Utusan Malaysia 21/04/2014

Oleh ZAZALI JAMIAN

sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Khidmat pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim bakal di­tagih oleh jurulatih hoki kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah pada kejohanan Cabaran Juara-juara 1 (CC1) andai dia mempamer ­prestasi meyakinkan dalam dua aksi persahabatan menentang Perancis dan Poland, minggu ini.

Nama Muhammad Razie ber­ada dalam senarai 21 pemain yang akan di bawa ke Kuantan, sekali gus membayangkan bahawa pemain itu turut berpeluang untuk berada dalam senarai akhir 18 pemain menghadapi CC1.

Kata Muhammad Dharma, Muhammad Razie telah menunjukkan pemulihan daripada kecederaan bahu kiri, malah dapat bermain dengan baik pada aksi persahabatan menentang China, semalam.

Tambah bekas jurulatih skuad remaja itu, khidmat Muhammad Razie memang diperlukan untuk mengukuhkan jentera pertahanan selain bagi melakukan pukulan sudut penalti dengan baik.

“Saya amat terkejut dengan persembahan Muhammad Razie hari ini (semalam) kerana dia tidak menunjukkan sebarang reaksi se­perti pemain yang dalam proses pemulihan kecederaan.

“Tujuan saya bawa Muhammad Razie ke Kuantan adalah untuk bermain dalam dua aksi persahabatan menentang Poland dan Perancis sebagai persediaan untuk menghadapi Piala Dunia, namun sekiranya pemain itu dilihat sudah pulih sepenuhnya mungkin dia juga akan disenaraikan untuk aksi CC1,” kata Muhammad Dharma.

Muhammad Razie ditimpa kecederaan tersebut ketika ber­aksi pada saingan Liga Hoki India yang berakhir dua bulan lalu hingga menyebabkan dia terlepas aksi pertamanya bersama jurulatih baharu skuad kebangsaan pada Piala Sultan Azlan Shah, Mac lalu.

Pemain pertahanan negara yang beraksi bersama pasukan Dabur Mumbai Magicians itu mengalami kecederaan ketika turun beraksi menentang Ranchi Rhinos.

Sementara itu, Muhammad Dharma turut mengakui sukar untuk menyenaraikan pemain ke Kuantan berikutan semua 29 pemain mempamerkan aksi membanggakan dalam enam aksi persahabatan menentang China.

Pada enam perlawanan persahabatan tersebut Malaysia meraih empat kemenangan, satu seri dan satu tewas.

“Ini adalah permulaan buat semua 29 pemain dan mereka telah mempamerkan prestasi yang sungguh baik hingga sukar untuk saya memilih yang terbaik.

“Saya juga seakan dapat melihat bahawa ini mungkin adalah sebahagian pemain yang akan beraksi pada Piala Dunia 2014 di Belanda nanti,” kata Muhammad Dharma.

Kejohanan CC1 akan bermula di Kuantan pada Sabtu ini, di mana Malaysia turun bersama sasaran tinggi untuk menamatkan kempen sebagai juara

Artikel Penuh diambil dari : http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140421/su_08/Razie-akan-dipanggil-jika-cemerlang#ixzz2zTrJggOr
© Utusan Melayu (M) Bhd

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top