Home / Berita & Artikel / S Kumar kembali ke Gawang!!

S Kumar kembali ke Gawang!!

Pengalaman dan kepakaran Kumar pasti ditagih skuad negara bagi mencipta kejayaan di Sukan Asia nanti

KUALA LUMPUR ,23 April 2018 ; Khabar angin yang bertiup kencang berhubung pembebasan penjaga gol utama negara dari terus menghadapi hukuman penggantungan terjawab apabila MHC mengesahkan pembebasan beliau  yang sebelum ini digantung ekoran gagal ujian doping ketika beraksi di Piala Asia, Dhaka Bangladesh, Oktober lalu . Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengesahkan hukuman pengantungan selama enam bulan sudah cukup untuk beliau ekoran kegagalan ujian doping apabila sampel air kencingnya didapati mengandungi sibutramine, salah satu bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Hukuman enam bulan ke atas Kumar dilihat sudah memadai bagi FIH selepas mengambil kira  bahan terlarang tersebut bukan lah bahan yang melibatkan peningkatan prestasi  selain mengambil kira kerjasama baik serta rekod bersih  Kumar.

Penjaga gol negara, S. Kumar melahirkan rasa bersyukur atas keputusan yang telah dikeluarkan oleh FIH serta gembira dapat kembali bersama skuad negara dan bertekad untuk membantu Malaysian Tigers di dua kejohanan besar iaitu Sukan Asia dan Piala Dunia 2018.

“Saya bersyukur kerana semuanya telah berakhir dan saya sememangnya mengharapkan keputusan yang terbaik untuk kes ini supaya saya boleh kembali bersama skuad negara untuk menabur khidmat terutamanya di kejohanan Sukan Asia di mana semua tahu Sukan Asia menewarkan tiket ke Sukan Olimpik 2020 dan juga Piala Dunia hujung tahun ini.

“Apabila saya mendapat keputusan bahawa saya sudah boleh kembali bersama skuad negara, saya sangat gembira kerana ia nya merupakan berita yang amat amat saya nantikan”

“Bukan senang untuk atlet terlepas daripada sesi pendengaran dan terus mendapat keputusan. Apabila saya menerima keputusan yang memihak kepada saya, saya gembira dan bersedia untuk kembali menjalani latihan,” jelasnya yang ditemui selepas sidang media yang berlangsung di MHC hari ini.

“Semasa tempoh penggantungan, saya memilih untuk mengekalkan kecergasan dengan melakukan latihan di gymnasium namun ianya belum mencukupi kerana faktor latihan penjaga gol di padang menjadi penghalang.

Dalam pada itu, tempoh 2 minggu latihan bersama skuad kebangsaan serta dibantu dengan pengalaman luas yang dimiliki beliau dilihat sudah cukup untuk beliau kembali ke prestasi asal beliau.

“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi jika saya kembali menjalani latihan bersama pasukan dalam tempoh masa dua minggu, saya akan kembali mendapat rentak sebagai penjaga gol dan mencabar kembali kedudukan dalam skuad kebangsaan,” jelas Kumar lagi.

Kehadiran Kumar pasti memberi kelegaan buat jurulatih utama negara Stephen Van Huizen biarpun memiliki 2 lagi penjaga gol iaitu Hafizudin dan Hairi Rahman yang dilihat mempamerkan aksi yang cukup baik ketika penggantungan Kumar.

 

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top