Home / Kejohanan / Antarabangsa / Sukan Sea 2017 : Ke”Sebelasan” Cemerlang

Sukan Sea 2017 : Ke”Sebelasan” Cemerlang

Pemain negara Siti Amarina bersama Juliani  serta Norfaiezah meraikan jaringan Malaysia

Pemain negara Siti Amarina bersama Juliani serta Norfaiezah meraikan jaringan kedua Malaysia yang dihasilkan oleh Nurul Nabiha Mansur.

Kuala Lumpur, 22 Ogos 2017; Skuad wanita negara menepati ramalan dan jangkaan apabila mudah membenam Indonesia 11 jaringan tanpa balas dalam perlawanan pertama mereka di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 malam tadi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

7 jaringan padang dan 4 gol menerusi pukulan sudut penalti sudah cukup membuktikan bahawa skuad wanita negara benar benar turun dengan komitmen tinggi serta tidak memberi ruang buat pasukan lawan. Malah perlawanan ini dilihat satu medan terbaik buat anak anak buah Dharma Raj Abdullah untuk mencuba serta menterjemahkan taktikal taktikal serta membuat simulasi keadaan seandainya berlaku sebarang perubahan permainan diperingkat yang lebih tinggi. Ini terbukti apabila skuad negara hampir keseluruhan permainan separuh masa kedua tidak menggunakan penjaga gol sebaliknya meletakkan pertahanan berpengalaman negara Juliani dibenteng terakhir.

Biarpun begitu skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke 12 perlawanan menerusi jaringan padang Wan Norfaiezah Md Saiuti bagi memecah benteng Indonesia yang dilihat mempamerkan corak bertahan sepanjang perlawanan. Gol itu menambah semangat negara apabila mudah menambah 2 lagi gol sebelum tamat suku pertama perlawanan menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Nurul Nabiha Mansur dan NurBaini Hashim.

Bagaikan harimau yang kelaparan, skuad negara dilihat tidak langsung memberi peluang dan harapan buat skuad Indonesia apabila menambah lagi 3 jaringan di suku kedua oleh jaringan 2 jaringan pukulan sudut penalti oleh Noraini Rashid dan Siti Noor Amarina Ruhani dan jaringan padang penyerang prolifik negara Hanis Nadiah Onn seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Malaysia terus menggandakan asakan demi asakan di separuh masa kedua bagaikan tidak puas dengan 6 jaringan di separuh masa pertama dan berhasil menambah jaringan seawal minit kedua perlawanan menerusi jaringan padang Wan Norfaiezah sebelum Nur Syafiqah Mohd Zain menambah jaringan ke 8 bagi skuad negara 8 minit berselang. Kenduri gol skuad negara diakhiri dengan 3 jaringan oleh Norazlin Sumantri, Siti Noor Amarina Ruhani dan atin Shafikah Mahd Sukri bagi melengkapkan malam gemilang skuad negara.

Skuad wanita negara akan turun sekali lagi menentang Singapura pada hari Rabu jam 6 petang manakala skuad lelaki negara akan turun bagi perlawanan pertama mereka bertemu Indonesia jam 8 malam.

Sementara itu bagi acara hoki dalam dewan skuad lelaki negara meneruskan rentak cemerlang apabila mudah menundukkan cabaran Thailand 4-0 manakala kejutan bagi skuad wanita negara apabila sekadar terikat 1-1 bertemu Indonesia.

 

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top