Home / Kejohanan / Tempatan / TNBMHL / Berita TNB MHL 2014 / Syed Menerangi TNB ke Final

Syed Menerangi TNB ke Final

Pemain pemain TNB meraikan jaringan pembukaan Syed Shafiq

Pemain pemain TNB meraikan jaringan pembukaan Syed Shafiq

Kuala Lumpur, 8 September 2016;‚ÄčTenaga Nasional Berhad ( TNB ) melupakan episod kurang enak yang berlaku dalam saingan liga apabila membenam cabaran hebat Pasukan Hoki Terengganu ( THT ) dalam aksi separuh akhir Piala Tan Sri P.Alagendra yang memihak kepada pasukan muda tersebut dengan keputusan 3-2 di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Penjaring terbanyak TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan terlebih dahulu mengejutkan pasukan berstatus bintang bimbingan Sarjit Singh itu apabila berjaya menolak masuk pukulan sudut penalti pada minit ke-15 perlawanan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, THT terus meningkatkan penguasaan permainan dan pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti bagi menyamakan kedudukan pada minit ke-21.

Jaringan penyamaan tersebut hanya bertahan seminit apabila TNB kembali mendahului lawan menerusi penalti strok yang diberikan berpunca dari pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq yang terkena kaki Fitri Saari bagi memberikan peluang Muhammad Azammi Adabi kembali meletakkan TNB dihadapan.

Suku ke-3 menyaksikan THT mendominasi permainan apabila mengasak bertali-arus ke kubu TNB dan usaha tersebut membuahkan hasil pada minit ke-43 berpunca dari hantaran silang pemain berpengalaman, Shahrun Nabil Abdullah dikuis dengan kemas oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil bagi kembali menyamakan kedudukan.

Ketika perlawanan dijangka berlanjutan ke penentuan pukulan penalti “sudden death”, Syed Mohamad Syafiq sekali lagi menjadi duri dalam daging pada perlawanan ini apabila menjadi wira setelah cemerlang menyempurnakan pukulan sudut penalti di minit terakhir bagi membawa TNB menempah pertemuan menentang Sapura pada perlawanan akhir.

Disamping ketajaman Syed Mohamad Syafiq menyempurnakan peluang yang terhidang, kekebalan S.Kumar di gawang TNB serta barisan pertahanan juga menjadi kunci kepada kemenangan tersebut kerana berjaya menidakkan beberapa peluang keemasan yang dimiliki THT yang memperoleh 17 pukulan sudut penalti pada perlawanan ini.

Sementara itu di Stadium Hoki Taman Daya, Sapura menepati ramalan layak ke perlawanan akhir setelah berjaya menundukkan cabaran pasukan dari Divisyen 1, Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail ( SSTMI ) dengan kemenangan 4-1.

About Meor Abdullah Syamim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top