Home / Berita & Artikel / Tak rela tercicir – Harian Metro 24/04/2014

Tak rela tercicir – Harian Metro 24/04/2014

Kuala Lumpur: Hari ini akan menjadi penentuan sama ada impian penyerang negara Ismail Abu untuk kembali menyinar bersama skuad hoki kebangsaan menjadi kenyataan atau sebaliknya apabila pengendali negara Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bakal mengumumkan senarai 18 pemain terakhir terpilih beraksi di Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 bermula Sabtu ini.

Ini kerana harapan Ismail kali ini cukup besar untuk kembali menyinar bersama skuad negara selepas sekian lama dihantui kecederaan tulang rawan.

Terpilih berada dalam senarai 20 pemain selepas tapisan pemain dilakukan Dhaarma baru-baru ini, Ismail tanpa berselindung tidak mahu menjadi antara dua nama yang tercicir dalam tapisan kedua dan yang terakhir, hari ini.

“Saya memang berharap terpilih dalam senarai 18 pemain terakhir sebab sudah lama tidak beraksi perlawanan kompetitif.

FotoDHAARMA (kiri) bakal umum senarai pemain yang akan beraksi di Kuantan nanti.

“Kali terakhir saya beraksi bersama skuad negara pada saingan Trofi Juara-Juara Asia di Jepun tahun lalu dan selepas itu, saya ditimpa kecederaan tulang rawan sekali lagi.
“Kalau terpilih, ia akan membuka peluang saya beraksi di Piala Dunia. Sebab itu saya benar-benar berharap terpilih kali ini,” katanya.

Begitupun, Ismail sedar, bukan mudah untuknya memikat hati Dhaarma kerana banyak lagi pemain berkaliber termasuk barisan pemain muda yang dilihat mempamer aksi terpuji pada saingan Piala Sultan Azlan Shah lalu.

“Pada mulanya ketika memasuki kem latihan, saya lihat ramai pemain baru dan rasa sedikit tercabar, tetapi sebagai senior saya kena bersaing juga untuk merebut tempat,” katanya.

Pada saingan berlangsung di Kuantan, Pahang itu, skuad negara diundi dalam Kumpulan B bersama Perancis, Korea Selatan dan Kanada.

Anak buah Dhaarma akan membuka kempen Sabtu ini dengan menentang Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/24

artikel ini diambil dari http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takrelatercicir/Article/index_html

 

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top