Home / Kejohanan / TNB rampas Takhta Liga TNBMHL2017

TNB rampas Takhta Liga TNBMHL2017

Penjaga gol Maybank berhempas pulas mempertahan kan kubu beliau dari terus dirobek pemain pemain TNB

KUALA LUMPUR ,24 Januari 2018;  TNB  kembali merampas tangga teratas Liga Perdana, TNB Liga Hoki Malaysia selepas menewaskan Maybank 4-2 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin memimpin liga dengan 13 mata, kelebihan satu mata berbanding Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang sekadar seri 1-1 ketika bertemu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Muhammad Shahril Saabah meletakkan TNB di depan pada minit ke-20 menerusi gol padang sebelum Shello Silverius menambah gol kedua tiga minit selepas itu, juga hasil gol padang.

Muhammad Aminudin Mohd Zain mengukuhkan kedudukan TNB apabila menyumbang gol ketiga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-34.

Maybank bagaimanapun tidak mudah mengalah selepas Alan Oscar William menjaringkan gol pertama hasil pukulan sudut penalti minit ke-44.

Bagaimanapun Shello sekali lagi menemui ruang untuk menjaringkan gol keempat TNB.

Maybank memperoleh gol kedua minit ke-57 selepas Wookey Oscar William tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti tetapi ia sudah terlambat untuk menafikan kemenangan TNB.

Di Stadium Hoki Batu Buruk, THT di depan menerusi jaringan padang Faizal Saari sebelum Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin menyamakan kedudukan untuk UniKL, juga menerusi jaringan padang minit ke-51.

Pemain Import KLHC dari Korea Selatan Jang JongHyun sekali lagi membuktikan beliau adalah pakar “pemusnah” sudut penalti

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pula terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila berjaya menewaskan TNB Thunderbolts 4-0 sekali gus kemenangan ketiga berturut turut mereka di saingan liga.

Selepas beraksi hambar di awal saingan, skuad bimbingan Lim Chiow Chuan mempamerkan peningkatan ketara untuk kembali menghidupkan peluang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana.

“Kami bermula dengan agak perlahan pada awal permainan tetapi memasuki pertengahan perlawanan pemain mula menunjukkan peningkatan.

“Jelas sekali Thunderbolts beraksi dengan bersungguh-sungguh dan memberikan saingan sengit.

“Apapun yang penting adalah kami sekali lagi meraih tiga mata penuh dan ia kembali meningkatkan keyakinan kami untuk menghadapi baki perlawanan selepas ini,” kata Chiow Chuan.

Pada perlawanan hari ini, pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jang Jonghyun meletakkan KLHC di depan seawal minit ke-3 menerusi pukulan sudut penalti.

KLHC menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Nicholas Budgeon minit ke-31 sebelum Thomas Carson mengukuhkan kedudukan KLHC apabila menjaringkan gol padang minit ke-49.

Jonghyun melengkapkan kemenangan pasukannya apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti lima minit sebelum tamat perlawanan.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top