Home / Kejohanan / TNBMHL2018 : TNB serah Puncak Liga Ke THT

TNBMHL2018 : TNB serah Puncak Liga Ke THT

Pemain TNB Syarman Mat Tee cuba menghalang gerakan pemain THT Joaqin Menini dalam pertemuan TNBMHL2018

KUALA LUMPUR , 19 Januari 2018;  THT merampas kedudukan teratas Liga Perdana daripada TNB selepas menewaskan lawan mereka itu 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Turun dengan berada di kedudukan kedua liga di belakang TNB, skuad bimbingan Sarjit Singh harus berterima kasih kepada pakar pukulan sudut penalti terbaik dunia, Gonzalo Peillat yang meledak kedua-dua gol itu pada minit ke-31 dan 34.

Bagaimanapun TNB nyata mampu memberikan saingan sengit apabila menafikan beberapa peluang terbaik THT untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan selepas berakhir separuh masa pertama.

Kemenangan ketiga yang dilakar THT menyaksikan juara Piala TNB itu kini mengumpul 10 mata untuk memimpin, lebih satu mata berbanding TNB di tempat kedua.

Sarjit mengakui Peillat menjadi watak penting kepada kemenangan THT hari ini.

“Dia menyempurnakan dua pukulan sudut penalti dengan baik. Selepas tiga perlawanan Peillat sudah menjaringkan tujuh gol dan ia adalah pencapaian yang cemerlang,” katanya.

Sarjit tidak mahu barisan pemainnya berasa selesa dengan kedudukan semasa mereka, sebaliknya menuntut aksi lebih baik pada perlawanan seterusnya Ahad ini menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Kami perlu fokus pada setiap perlawanan dan lawan seterusnya adalah UniKL.

“Saya jangkakan ia perlawanan yang sukar kerana mereka juga mempunyai kualiti permainan yang baik,” katanya.

Pemain import UniKL Timothy James Deavin meraikan jaringan kedua buat UniKL

Sementara itu, UniKL di bawah bimbingan Arul Selvaraj turut cemerlang apabila menewaskan TNB Thunderbolts 3-1.

Bagaimanapun mereka tersentak dengan gol awal TNB Thunderbolts yang disumbangkan oleh Muhammad Muhibuddin Moharam menerusi gol padang minit ke-7.

Pakar pukulan sudut penalti UniKL, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menyamakan kedudukan minit ke-14 sebelum tonggak import, Timothy James Deavin menambah gol kedua UniKL minit ke-42 menerusi gol padang.

Dua minit sebelum tamat permainan, Jeroen Dolf Hertzberger mengesahkan kemenangan UniKL dengan gol padang.

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pula tidak berdepan masalah menewaskan Maybank 5-1.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top