Home / Kejohanan / TNBMHL2018 : TNB terus cipta Kejutan

TNBMHL2018 : TNB terus cipta Kejutan

Penyerang Pasukan TNB Firhan Asaari mempamerkan bisa beliau apabila mejaringkan gol ke 3 buat pasukan TNB

KUALA LUMPUR ,14 Januari 2018;  Selepas membenam UniKL dua hari lalu, TNB  terus mempamerkan aksi bertenaga apabila membenam cabaran KLHC 4-2 pada aksi kedua TNMHL2018  di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Kemenangan itu bukan saja mengejutkan Juara Piala Alagendra KLHC  tetapi juga menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan enam mata, manakala KLHC pula tercari cari rentak kemenangan.

Nor Saiful ketika ditemui selepas tamat perlawanan menjelaskan taktikal menyerang sebaik perlawanan dimulakan dilihat menjadi kunci kejayaan hari ini malah aksi tanpa putus asa dipamerkan anak anak buah nya jelas menjadi antara faktor kejayaan mereka hari ini.

“Nampaknya misi kami pada hari ini berjaya apabila meraih dua gol awal sebelum kami membunuh semangat mereka menerusi gol ketiga, bagi saya mana-mana pasukan sukar untuk bangkit daripada ketinggalan 3-0.

“Cuma strategi ini sedikit memenatkan dan ia jelas kelihatan apabila pemain saya melepaskan dua gol di hujung permainan.

“Tetapi saya berharap mereka sempat berehat untuk perlawanan Rabu ini,” kata Nor Saiful sejurus tamat aksi itu.

Sebaik suku pertama bermula, TNB terus garang mengasak menerusi corak permainan pantas dan hanya memerlukan lima minit untuk meledak gol pertama hasil tolakan padu pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.

Gol itu hadir selepas penjaga gol KLHC Roslan Jamaluddin sebelum itu bertindak cemerlang menafikan percubaan pukulan sudut penalti Shahril Saabah dan percubaan berbahaya Tengku Ahmad Tajuddin Abd Jalil.

Penyerang berusia 18 tahun, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah jaringan kedua TNB lima minit kemudian apabila pukulan kilas cantiknya daripada tengah kawasan D mengelirukan Roslan sebelum Firhan Ashaari menambah derita KLHC pada minit ke-18.

TNB yang diperkuatkan 10 pemain kebangsaan terus melakukan asakan bertali arus sepanjang suku ketiga serta keempat dan hasilnya memperolehi gol keempat menerusi tolakan Shahril Saabah yang melakukannya daripada sudut sukar di sebelah kanan menewaskan Roslan pada minit ke-48.

KLHC yang tenggelam dengan kepantasan pemain TNB akhirnya berjaya menembusi gawang dikawal Hairi Abdul Rahman apabila meledak dua gol menerusi bintang Korea Selatan Jang Jong Hyun pada minit ke-51 dan Razie Rahim di minit  ke 59.

 

Izwan firdaus pamer aksi memukau bagi membantu UniKL mencatatkan kemenangan pertama TNBMHL musim ini

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, UniKL menebus kekecewaan tewas kepada TNB pada perlawanan pertama liga apabila membelasah Maybank 6-0, hari ini.

Di Stadium Batu Buruk, Kuala Terengganu pula, Pasukan Hoki Terengganu (THT) menewaskan TNB Thunderbolts 6-2.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top