Home / Kejohanan / TNBMHL2019 : TNB berpesta UniKL terus Unggul

TNBMHL2019 : TNB berpesta UniKL terus Unggul

Pemain pemain TNB meraikan jaringan ke 2 oleh Norshafiq Sumantri dalam pertemuan menentang Maybank petang tadi

KUALA LUMPUR ,17 FEBRUARI 2019 ;  TNB terus membuktikan mereka adalah pasukan pilihan bagi TNBMHL2019 apabila mudah membenam cabaran Maybank 7-2 dalam pertemuan di Stadium Hoki Tengku Abdullah petang tadi.

Sementara itu pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hampir pasti untuk diangkat selaku juara Liga Perdana musim ini selepas pertemuan dengan Nurinsafi/Kedah Hockey yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM) tamat dengan UniKL mencatatkan kemenangan bergaya 6-1 ke atas lawan mereka itu.

Pada aksi yang menemukan TNB dan Maybank, TNB membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi gerakan padang berpunca daripada bola yang dilorongkan oleh Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal kepada Firhan Ashaari dan Firhan yang berada di sebelah kiri pintu gol lawan mencari sudut sebelah atas pintu gol untuk menewaskan penjaga gol Maybank, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Berselang tiga minit kemudian, TNB menggandakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti kedua mereka apabila Norsyafiq Sumantri bijak untuk melakukan tindakan susulan daripada flik terus yang dilakukan oleh Muhammad Arif Syafie Ishak untuk TNB selesa mendahului 2-0.

Bagaimanapun dua jaringan TNB tidak mematahkan semangat Maybank untuk bangkit mengejar kedudukan apabila memasuki minit ke-15, kapten Maybank, Hafifihafiz Hanafi yang berada di belakang pertahanan TNB, Shazril Irwan Nazli hanya menghulurkan kayunya untuk menyambut bola hantaran jauh Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin dan pantulan bola tersebut mengubah kedudukan menjadi 1-2.

Bersambung suku ketiga, kesilapan pemain Maybank ketika mahu mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya berjaya digunakan oleh Arif Syafie untuk kembali menghantar boleh tersebut memasuki kawasan gol Maybank dan tindakan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menolak bola tersebut masuk ke gol Maybank mengubah kedudukan menjadi 3-1 pada minit ke-35.

Minit ke-41, TNB terus melebarkan jurang kedudukan kali ini Azrai Aizad bertindak sebagai pemain yang membantu TNB menjaringkan gol keempat apabila dia bijak untuk menghantar bola kepada Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang tidak dikawal dan Akhimullah mudah memukul masuk bola tersebut.

Seminit selepas suku keempat bersambung, Maybank berjaya untuk merobek gawang TNB sekali lagi kali ini giliran Muhammad Haziq Samsul untuk menewaskan penjaga gol TNB, Che Shahrul Azmi Che Saupi menerusi satu pukulan dari sudut bawah kiri pintu gol TNB untuk kedudukan berubah 2-4.

TNB melengkapkan jaringan kemenangan 7-2 mereka pada tiga minit terakhir perlawanan bermula dengan jaringan padang Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minti ke-57 diikuti gol pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-59 dan jaringan padang Norsyafiq Sumantri pada minit ke-60.

Dalam pada itu, UniKL yang bertandang ke Stadium Hoki USM membenam cabaran tuan rumah, Nurinsafi/Kedah Hockey 6-1 menerusi jaringan pembukaan oleh Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-13 dan diikuti gol pukulan sudut penalt yang disempurnakan oleh Martijn Peter Havenga untuk menutup aksi separuh masa pertama 2-0 berpihak UniKL.

Bersambung separuh masa kedua, Nurinsafi/Kedah Hockey berjaya untuk mencuri satu gol hasil gerakan padang Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi seminit selepas aksi bermula. Bagaimanapun UniKL bangkit dengan empat gol menerusi dua gol pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-41 dan 50 sementara dua lagi gol disumbangkan Faridzul Afiq Mohd menerusi gerakan padang pada minit ke-44 dan 60.

Satu lagi aksi menyaksikan pertemuan antara TNB Thunderbolts dan Universiti Teknologi Mara (UITM) di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur terpaksa ditamatkan lebih awal apabila ujan lebat serta kilat memaksa perlawanan di separuh masa kedua tidak dapat diteruskan. Bagaimanapun empat gol yang telah dijaringkan TNB Thunderbolts pada separuh masa pertama membantu mereka untuk membawa pulang tiga mata daripada perlawanan tersebut.

Dua lagi aksi berbaki sebelum perlawanan Liga Perdana akan berakhir di mana dua pertemuan tersebut akan berlangsung pada Rabu, 20 Februari  dan Jumaat, 22 Februari 2019.

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top