Home / Kejohanan / Tempatan / MJHL 2015 / TNBMJHL SSTMI AHP berkelebihan

TNBMJHL SSTMI AHP berkelebihan

Mohammad Muhibbudin meraikan jaringan ke tiga buat pasukan SSTMI Thunderbolts

KUALA LUMPUR , 30 JULAI 2019;  SSTMI Thuderbolts dan AHP MSP Thunderbolts miliki sedikit kelebihan bagi dibawa ke aksi separuh akhir kedua yang akan berlangsung khamis ini. SSTMI Thunderbolts menepati ramalan awal apabila berjaya menundukkan Anderson Thunderbolts manakala AHP MSP Thunderbolts dipaksa bekerja keras sebelum berjaya menundukkan SSMS Resilient 4-2 dalam pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil petang tadi.

Biarpun dilabel sebagai pasukan pilihan, SSTMI Thunderbolts dipaksa bekerja keras setelah diberikan tentangan hebat oleh Anderson Thunderbolts hingga mereka terpaksa menunggu minit ke-19 untuk membuka tirai jaringan selepas kealpaan barisan pertahanan Anderson Thunderbolts digunakan oleh Muhajir Abdu Rauf untuk meledak gol padang.

SSTMI Thunderbolts menambah dua lagi gol pada minit ke-25 dan 42 juga menerusi gerakan padang kali ini hasil gol yang dijaringkan oleh Muhammad Amirul Hamizan Azahar dan Muhammad Muhibuddin Moharam.

Bagaimanapun ketinggalan 3-0 tidak mematahkan semangat anak-anak buah Mohd Nizam Mohd Hashim apabila mereka bangkit meledak dua gol menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan oleh Muhammad Fahmi Khalid pada minit ke-47 dan gol padang Mohamad Syazwan Syafiq Basir pada minit ke-54.

Anderson Thunderbolts seakan mendapat suntikan semangat menerusi jaringan tersebut apabila mereka terus bertahan dengan baik dan menidakkan beberapa peluang yang dimiliki oleh SSTMI Thunderbolts.

Namun seminit sebelum masa perlawanan sebenar berakhir, SSTMI Thunderbolts dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Syarman Mat Tee menyempurnakan kelebihan tersebut untuk perlawanan berkesudahan 4-2.

Sementara dalam satu lagi perlawanan separuh akhir AHP MSP Thunderbolts bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menewaskan lawan dari Sabah, SSMS Resilient 4-2. SSMS Resilient nampak seperti akan mencipta kejutan apabila berjaya mendahului 2-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan padang Nasrul Syakir dan Mohd Saifuddin.

Namun anak anak buah Mohd Sufian Mohamad jelas tidak berputus asa apabila bangkit di separuh masa kedua dan berjaya memperolehi 4 gol bagi dibawa ke pertemuan separuh akhir kedua Khamis ini.

Bagi kategori wanita pula MBPJ Black Widow membelasah SSP-MSP PKS Uniten 9-3 dan Mutiara Impian MSSPP-PSHA tewas 0-3 kepada SSTMI PKS-Uniten.

Bagi aksi wanita pula, MBPJ Black Widow nyata tidak mampu untuk dikekang oleh SSP-MSP PKS Uniten selepas MBPJ Black Widow berpesta gol menundukkan lawan mereka 9-3 dan pemain negara, Nuramirah Shakirah Zulkifli berjaya mencuri tumpuan pada aksi tersebut apabila menjaringkan lima gol padang.

Pengendali MBPJ Black Widow, Alam Syah Mohd Salim tidak melihat kemenangan besar tersebut sebagai kelebihan untuk pemainnya dan mahu pemain beraksi seperti tidak memiliki apa-apa kelebihan pada separuh akhir kedua nanti.

“Pastinya kami gembira dan bersyukur dengan kemenangan yang diraih hari ini namun selagi aksi separuh akhir kedua belum berakhir kami tidak melihat pasukan telah selangkah ke perlawanan akhir.

“Untuk aksi separuh akhir kedua nanti saya mahu pemain bermain seperti kedudukan masih 0-0 agar pemain dapat memberikan persembahan yang terbaik dan melangkah ke perlawanan akhir.

“Kehadiran Amirah dalam pasukan sememangnya membantu tetapi bagi saya ini adalah hasil usaha satu pasukan kerana jika dia tidak mendapat sokongan daripada pemain-pemain lain serta persefahaman yang baik pastinya sukar untuk Amirah menyinar seperti hari ini,” jelasnya.

Keputusan Perlawanan Hari ini (Selasa, 30 Julai)

Lelaki

SSTMI THUNDERBOLTS 4-2 ANDERSON THUNDERBOLTS

AHP – MSP THUNDERBOLTS 4-2 SSMS RESILIENT

Wanita

MBPJ BLACK WIDOW 9-3 SSP-MSP PKS UNITEN

MUTIARA IMPIAN MSSPP-PSHA 0-3 SSTMI PKS-UNITEN

Perlawanan Separuh Akhir Kedua (Khamis, 1 Ogos) – Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil,

Lelaki

1600, Padang 1: SSMS RESILIENT lwn AHP – MSP THUNDERBOLTS

1800, Padang 1: ANDERSON THUNDERBOLTS lwn SSTMI THUNDERBOLTS

Wanita

1600, Padang 2: SSTMI PKS-UNITEN lwn MUTIARA IMPIAN MSSPP-PSHA

1800, Padang 2: SSP-MSP PKS UNITEN lwn MBPJ BLACK WIDOW

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top