Home / Kejohanan / TNBMJHL2019 : Hatrik Final buat Thunderbolts

TNBMJHL2019 : Hatrik Final buat Thunderbolts

Pemain SSTMI Thunderbolts Mohammad Ikhmal Hakim meraikan jaringan ke 4 dan seterusnya menjamin tempat ke final buat SSTMI Thunderbolts

KUALA LUMPUR ,1 OGOS 2019;Bagaikan ulangan saban tahun, perlawanan akhir Piala TNB tahun ini, sekali lagi akan menemukan SSTMI Thunderbolts dan AHP-MSP Thunderbolts setelah kedua dua pasukan berjaya melepasi ranjau di separuh akhir petang tadi.

Walaubagaimanapun SSTMI Thunderbolts terpaksa bekerja keras melayani kebangkitan penuh dramatik pasukan Anderson Thunderbolts bagi melangkah ke final menerusi agregat 9-7 pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil petang tadi. SSTMI Thunderbolts terikat 5-5 walaupun mendahului 3-1 pada aksi diseparuh masa pertama. Malah SSTMI Thunderbolts dipaksa bangkit kembali setelah Anderson mempamerkan keajaiban apabila mendahului 5-3 di awal suku ke empat perlawanan.

Pemain AHP-MSP Thunderbolts Muhammad Syahir Hasif bin Harun meraikan jaringan tunggal perlawanan buat pasukan nya.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan AHP-MSP Thunderbolts pula tenang menewaskan SSMS Resilient 1-0 bagi mengesahkan tempat ke perlawanan akhir dengan agregat 5-2.

Jurulatih AHP-MSP Thunderbolts, Mohd Sufian Mohamad nyata senang apabila strategi yang diatur iaitu untuk menjaringkan gol awal bagi melebarkan lagi jurang agregat berjaya diterjemahkan dengan baik oleh pemainnya selain bersyukur apabila pasukan bimbingannya akan melangkah ke perlawanan akhir untuk tahun ketiga berturut-turut.

“Kami turun hari ini dengan strategi untuk mendapatkan gol awal bagi menjarakkan lagi kedudukan dan pemain berjaya mengikut taktikal yang telah kami atur di mana mereka menjaringkan gol awal.

“Ekoran cuaca agak panas hari ini, tempoh permainan menjadi sedikit perlahan dan saya juga menggunakan sistem pertukaran pemain dengan lebih kerap agar setiap pemain dapat beraksi dengan baik di pentas final nanti.

“Untuk pertemuan dengan SSTMI Thunderbolts pada perlawanan akhir, saya melihat ini merupakan tahun terbaik dari segi tahap setiap pemain untuk pasukan kami dan pasukan lawan dimana kedua-duanya berada di tahap yang sama.

“Untuk aksi final apa yang kami akan lakukan, kami akan meneliti semula rakaman video dan semestinya pasukan kami akan bermain bermati-matian pada final nanti untuk cuba mendapatkan kejuaraan pada tahun ini.

“Saya sangat bersyukur kerana Akademi Hoki Pahang berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila melangkah ke final untuk tiga tahun berturut-turut dan ini juga merupakan satu pencapaian terbaik sejak akademi ditubuhkan selain ia juga menunjukkan bahawa program pembangunan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) nyata berhasil,” jelasnya.

Dalam aksi bagi kategori wanita pula, SSTMI PKS-Uniten mencatat kemenangan 2-1 ke atas Mutiara Impian MSSPP-PSHA pada aksi separuh akhir kedua untuk menjadikan keseluruhan agregat 5-1 yang sekaligus memutlakkan kemaraan mereka di pentas final.

Turun dengan kelebihan tiga gol yang dibawa daripada aksi separuh akhir pertama, skuad bimbingan Azlizam Abdul Shukor membuka tirai jaringan pada minit ketiga menerusi gol pukulan sudut penalti yang diledak Khairunnisa Ayuni Mohd Shahrudin sebelum Putri Nurbatrisyia Nor Nawawi mengubah kedudukan menjadi 2-0 empat minit kemudian juga melalui pukulan sudut penalti.

Kedudukan 2-0 terus kekal sehingga minit ke-57 apabila Mutiara Impian MSSPP-PSHA yang dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti menggunakan kelebihan tersebut untuk menjaringkan gol saguhati menerusi Nur Aisyah Nasir dan sekaligus menutup aksi separuh akhir kedua dengan keputusan 2-1.

Sementara MBPJ Black Widow yang berpesta gol menewaskan SSP-MSP PKS UNITEN 9-3 pada separuh akhir pertama memastikan kemaraan mereka ke perlawanan akhir dengan agregat 11-5 selepas perlawanan separuh akhir kedua berkesudahan dengan kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Keputusan Perlawanan Hari ini (Khamis, 1 Ogos)

LELAKI

ANDERSON THUNDERBOLTS 5-5 SSTMI THUNDERBOLTS (Agregat: 7-9)

SSMS RESILIENT 0-1 AHP – MSP THUNDERBOLTS (Agregat: 2-5)

WANITA

SSP-MSP PKS UNITEN 2-2 MBPJ BLACK WIDOW (Agregat: 5-11)

SSTMI PKS-UNITEN 2-1 MUTIARA IMPIAN MSSPP-PSHA (Agregat: 5-1)

Perlawanan Akhir (Sabtu, 3 Ogos) – Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil,

LELAKI

Tempat ke-3 dan ke-4, Padang 1, 1830: ANDERSON THUNDERBOLTS lwn SSMS RESILIENT

Akhir, Padang 2, 2000: SSTMI THUNDERBOLTS lwn AHP – MSP THUNDERBOLTS

WANITA

Tempat ke-3 dan ke-4, Padang 1, 1630: SSP-MSP PKS UNITEN lwn MUTIARA IMPIAN MSSPP-PSHA

Akhir, Padang 2, 1800: MBPJ BLACK WIDOW lwn SSTMI PKS-UNITEN

About Senior Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top